KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan negara terus mengekalkan momentum kukuh dengan eksport bulan lalu meningkat 20.7 peratus kepada RM127.49 bilion, pertumbuhan tahunan dua angka selama sembilan bulan berturut-turut, menjadikannya prestasi terbaik pernah dicatatkan bagi April.
Prestasi perdagangan, import dan lebihan dagangan bulan lalu turut mencatatkan nilai bulanan tertinggi bagi April.
Import berkembang 22 peratus kepada RM103.95 bilion dan lebihan dagangan berkembang 15.7 peratus kepada RM23.55 bilion.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), terutama semikonduktor yang dipacu oleh trend pendigitalan global.
Katanya, eksport ke pasaran utama khususnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka, dengan eksport ke AS merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkurang sebanyak 2.1 peratus, 3.1 peratus, 0.9 peratus dan 11.6 peratus.
“Bagi tempoh Januari hingga April 2022, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan telah merekodkan nilai tertinggi pada tempoh berkenaan setakat ini,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, perdagangan meningkat 22.9 peratus kepada RM856.21 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Eksport, katanya, naik 21.8 peratus kepada RM472.39 bilion dan import berkembang 24.3 peratus kepada RM383.82 bilion.
“Lebihan dagangan berkembang sebanyak 12.1 peratus kepada RM88.57 bilion.
Eksport barangan perkilangan pada April 2022 yang menyerap 84.2 peratus daripada jumlah eksport naik 17.2 peratus tahun ke tahun kepada RM107.39 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, di mana setiap barangan ini telah merekodkan peningkatan melebihi RM1 bilion.
Eksport keluaran pertanian pula meningkat 29.9 peratus kepada RM10.2 bilion berbanding April 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-14 bulan berturut-turut.
Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, eksport hasil galian berkembang 64.6 peratus tahun ke tahun kepada RM9.33 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-13 bulan berturut-turut.
Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.
Bagi tempoh Januari hingga April 2022, eksport barangan perkilangan berkembang 17.6 peratus kepada RM399.04 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Eksport keluaran pertanian meningkat 43.6 peratus kepada RM37.37 bilion
dipacu oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Manakala, eksport hasil galian melonjak 60.4 peratus kepada RM33.74 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG, petroleum mentah serta bijih logam dan serpihan logam.