KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu tidak sesuai dengan keadaaan semasa, malah ia tidak pernah dibincangkan di peringkat Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa langkah menambat ringgit adalah tidak sesuai buat negara.
“Gabenor BNM telah memberi kenyataan (tambatan ringgit) adalah tidak sesuai dengan keadaan semasa. Pada 1 September 1998, kita tambat ringgit kepada RM3.80 berbanding dolar AS kerana keadaan luar biasa termasuk disebabkan oleh spekulasi mata wang.
“Gabenor telah pun menyatakan pendirian, maka perkara ini tidak berbangkit lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen di antara Presiden (Ventures) Capital A Bhd, Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Fabian Bigar.
Perjanjian itu menggariskan usaha sama antara kedua-dua pihak dalam menyokong dan mencapai hasil yang telah disasarkan di peringkat nasional di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar 4IR.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, baru-baru ini berkata menambat ringgit kepada dolar AS bukan langkah terbaik demi kepentingan negara dalam persekitaran semasa yang mencabar.
Katanya, kelemahan ringgit ketika ini didorong oleh faktor luaran seperti kadar faedah yang tinggi di AS dan ketidaktentuan di China.
Mengulas mengenai majlis itu, Mustapa berkata, kerajaan amat menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menjana lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia, tanpa mengira jantina, umur, bangsa atau lokaliti untuk mempelajari teknologi 4IR.
Katanya, ini akan meningkatkan kebolehpasaran mereka, prospek kemajuan kerjaya serta meningkatkan keupayaan mereka untuk menggunakan, membangunkan, mereka bentuk dan mencipta penyelesaian teknologi 4IR.
“AirAsia Academy berjaya meningkatkan kemahiran tenaga kerja AirAsia dengan menggunakan kemudahan moden yang amat diperlukan dalam dunia digital pada hari ini.
“Justeru, adalah penting untuk kita terus melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita dengan pengetahuan yang diperlukan untuk teknologi 4IR,” katanya.
Sementara itu, Aireen berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan MyDIGITAL Corporation bagi memacu visi dalam mentransformasikan serta meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dengan aset mereka.
“Kami juga berbangga kerana dapat melihat transformasi yang hebat dalam kalangan Allstars (kakitangan AirAsia) yang telah menyertai pelbagai program pembangunan kemahiran sejak kami ditubuhkan, seperti daripada seorang pengendali bagasi kepada seorang saintis data dan ejen perkhidmatan pelanggan kepada ahli pemasar digital.
“Setakat ini, lebih 5,000 individu telah mengasah bakat digital mereka melalui AirAsia Academy, dan kami amat teruja kerana dapat menawarkan program untuk dimanfaatkan oleh semua,” katanya.
Sempena pengumuman ini, AirAsia Academy menawarkan Kursus Peningkatan Kemahiran Atas Permintaan khas dengan hanya RM28 sebulan (harga asal RM69) untuk tempoh enam bulan kepada 100 pelajar terawal.
Antara kursus kemahiran yang ditawarkan adalah The Mind of a Hacker, Big Data Challenges in Industry dan Dashboarding with Data Studio.