Kerajaan berdepan cabaran beban hutang, subsidi tinggi

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Persekitaran kadar faedah yang tinggi dan peningkatan tanggungan subsidi menyukarkan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran defisit perbelanjaan yang ditetapkan bagi tahun ini.

Penganalisis RHB Research, Alexander Chia, berkata hutang langsung setakat akhir 2021 yang berada pada paras RM979.8 bilion dan bersamaan 63 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat kepada RM1.29 trilion atau 83.5 peratus daripada KDNK selepas mengambil kira jaminan hutang.

Beliau berkata, caj pembayaran balik hutang berada pada paras RM43.1 bilion tahun ini, bersamaan 18.4 peratus daripada jangkaan pendapatan.

“Kenaikan kadar faedah dan bil subsidi yang semakin meningkat hanya akan menjadikan sasaran defisit fiskal enam peratus oleh kerajaan lebih sukar dicapai,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Chia berkata, sistem subsidi Malaysia yang kompleks menjadi semakin berisiko untuk dirungkai terutama membabitkan bahan api, elektrik, air dan makanan.

Beliau berkata, kos pengeluaran terus meningkat, justeru langkah mengekalkan subsidi menjadi sangat mencabar dalam kes tertentu, sehingga menjejaskan pasaran.

Katanya, subsidi domestik menjadi isu politik yang hangat terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan Barisan Nasional (BN) yang berhasrat untuk kekal berkuasa dan mendesak pembubaran Parlimen lebih awal, maka sebarang perubahan kepada subsidi menjadi perkara yang sensitif walaupun memberi kesan kepada kewangan awam.

Malah, beliau berkata bahawa semakin lewat PRU15 akan diadakan, bil subsidi akan menjadi semakin besar.

“Dengan harga petrol RON 95 dan diesel yang bersubsidi tinggi, dan (harga) minyak mentah Brent didagangkan melebihi AS$100 setong, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan bahawa bil subsidi akan mencecah RM28 bilion pada 2022, berbanding RM11 bilion pada 2021.

“Kerajaan akan semakin bergantung kepada dividen yang lebih tinggi daripada PETRONAS sekiranya harga minyak kekal tinggi dan ini akan menjadi peruntukan tidak cekap berikutan sumber terhad selain menjejaskan keperluan perbelanjaan dan operasi PETRONAS,” katanya.

Namun begitu, Chia berkata, pengumuman di luar jangkaan oleh agensi penarafan antarabangsa, S&P yang menaikkan tinjauan penarafan hutang bagi Malaysia kepada stabil berbanding negatif memberi sedikit jaminan kepada pelabur.

Beliau berkata, agensi penarafan itu percaya bahawa kerajaan negara ini komited untuk melaksanakan pembaharuan fiskal, yang mana pihaknya percaya langkah kritikal akan merangkumi pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, beliau juga percaya bahawa GST tidak mungkin diumumkan dalam Bajet 2023, namun ia mungkin diumumkan pada Mac 2023 dengan pelaksanaannya pada akhir 2023 atau awal 2024 dengan kadar awal sekitar paras rendah satu angka.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berpandangan kerajaan berdepan cabaran amat untuk mencapai sasaran defisit berikutan jumlah subsidi yang besar ditanggung.

Beliau berkata, sasaran itu sukar dicapai meskipun usaha penjimatan dan kutipan hasil lebih tinggi dijangka tahun ini, termasuk peningkatan dividen daripada syarikat minyak nasional.

“Peningkatan sedikit defisit melebihi sasaran enam peratus daripada KDNK berkemungkinan boleh ditampung tanpa melanggar had hutang 65 peratus daripada KDNK,” katanya.

Tengku Zafrul baru-baru ini dilaporkan menegaskan bahawa kerajaan masih optimis bahawa negara akan terus mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini dengan perangkaan awal bagi suku kedua tahun ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan momentum berkenaan dijangka berterusan ke suku ketiga.

Beliau menjelaskan, perangkaan juga menunjukkan Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini.

Beliau berkata, ruang fiskal negara ketika ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu dan harga komoditi yang lebih baik membantu kedudukan fiskal negara, malah kerajaan masih kekal dengan sasaran defisit fiskal enam peratus bagi tahun ini bersandarkan kepada sasaran pertumbuhan ekonomi.

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata bahawa hutang Kerajaan Persekutuan masih di tahap terkawal dan kerajaan amat berdisiplin serta tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini.

Pada akhir Jun 2022, pinjaman luar pesisir berjumlah RM29.4 bilion manakala hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM86.7 bilion pada suku pertama 2022.

“Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk menampung bayaran emolumen (RM22 bilion), bayaran khidmat hutang (RM9.1 bilion) dan bayaran persaraan (RM8.4 bilion).

“Selain itu, sebanyak RM11.5 bilion dibelanjakan bagi tujuan subsidi, bantuan dan insentif termasuk subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak serta bayaran Bantuan Keluarga Malaysia fasa 1,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini