KUALA LUMPUR: Lebih banyak ketidaktentuan menanti ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini dengan situasi inflasi yang dijangka berlarutan lebih lama, demikian menurut RHB Investment Bank.
Susulan lonjakan inflasi, bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) terpaksa mengambil langkah agresif menaikkan kadar faedahnya.
Ia membawa kepada kegusaran sama ada pemulihan berperingkat ekonomi terbesar dunia itu dapat dicapai atau tidak, sekali gus memberi kesan kepada ketidaktentuan pasaran dan ekonomi negara lain termasuk Malaysia.
Bank-bank pusat global telah berkali-kali menaikkan kadar faedah masing-masing untuk membendung inflasi di negara masing-masing, namun masih gagal, malah pengguna terus berdepan kenaikan harga barangan.
Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya berkata, risiko geopolitik seperti perang Russia-Ukraine, adalah aspek tidak dapat diduga yang mendorong kenaikan inflasi.
“Dalam pada itu kedudukan kewangan negara pula semakin berisiko susulan pelbagai ‘janji populis' menjelang pilihan raya umum (PRU) yang bakal tiba.
“Pengekalan modal perlu menjadi keutamaan penting dengan berpaksikan pendekatan bertahan, di samping mempunyai daya fikir yang dapat membantu pelabur membuat pelaburan secara tangkas,” kata bank pelaburan itu.
RHB Investment Bank berkata, dengan kesan pembukaan semula ekonomi telah diambil kira sepenuhnya, hala tuju ekonomi negara untuk separuh kedua 2022 (2H22) dan seterusnya masih belum jelas.
“Sentimen kekal terjejas, berikutan wujudnya pelbagai ancaman makroekonomi luaran dan dalaman, ditambah pula dengan kebimbangan politik dan kawal selia di peringkat domestik.
“Risiko cenderung menjadi negatif. Dengan bank-bank pusat dunia tergesa-gesa membetulkan kesilapan mereka dalam memahami keadaan inflasi dunia, serta risiko geopolitik yang berkemungkinan berlarutan, sekali gus menjadikan aset berisiko berdepan situasi mencabar.
“Krisis Ukraine yang berlarutan akan meningkatkan harga komoditi dan terus memacu inflasi pada 2H22. Jangkaan inflasi yang tinggi kini memasuki ke 2H22 biarpun kadar faedah bakal dinaikkan beberapa kali,” katanya.
RHB Investment berkata, kedudukan ekonomi yang tidak menentu dan tiadanya faktor positif yang jelas akan membuat pelabur berhati-hati dan enggan membuat pelaburan besar kerana penilaian hadapan mungkin tidak stabil.
Perkara ini, katanya akan menyebabkan pelabur lebih cenderung untuk memegang banyak tunai dan aset-aset cair lain buat sementara waktu.
Dari segi saranan kepada pelabur, RHB Investment berkata, pelaburan utama yang perlu ditekankan adalah dalam syarikat yang mempunyai kewangan kukuh, kuasa pembelian, kemampuan untuk mengalihkan kos lebih mahal, rangkaian pelanggan setia, selain profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mantap.