KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.6 peratus bagi 2022 dengan peningkatan kepada ekonomi berikutan prestasi lebih baik pada suku pertama 2022.
Dalam nota penyelidikan semalam, Ambank Research berkata peningkatan ekonomi akan didorong oleh sumbangan positif yang berterusan daripada pemintaan semikonduktor global, harga komoditi yang kukuh dan aktiviti-aktiviti pembuatan dipacu eksport.
Kepulangan pekerja asing untuk menyokong sektor pertanian dan pembinaan, dan sejumlah 11,261 projek perumahan yang telah diluluskan setakat akhir Mac 2022 akan menambah baik ekonomi pada masa depan.
“Melihat kepada tempoh yang masih berbaki pada tahun ini, peningkatan kepada ekonomi masih kekal. Bagaimanapun, cabaran luaran yang berterusan masih menjadi satu kerisauan.
“Selain cabaran luaran, dari segi domestik, ekonomi dijangka mengalami sedikit tekanan daipada gangguan rantaian bekalan, pertambahan kos dan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, CGS-CIMB berkata pemulihan yang kukuh pada suku pertama meningkatkan harapan kepada KDNK yang kukuh untuk suku kedua 2022.
Dari segi penggunaan swasta, pengeluaran yang besar dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pendapatan berkaitan komoditi yang tinggi, serta pemulihan berterusan di pasaran buruh boleh mendorong kepada peningkatan perbelanjaan isi rumah.
“Bagaimanapun, risiko kelembapan global telah meningkat di tengah-tengah peningkatan situasi yang tidak menentu berikutan kelembapan di China, impak buruk kenaikan kadar Rizab Persekutuan yang agresif terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan krisis Russia-Ukraine yang berlanjutan.
“Setakat ini, KDNK suku pertama 2022 telah dipacu oleh pemulihan permintaan domestik, manakala pertumbuhan eksport adalah sederhana,” katanya.
Firma penyelidikan itu menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak dua kali, masing-masing 25 mata asas pada separuh kedua 2022 untuk mengakhiri tahun ini pada 2.50 peratus, masih di bawah kadar neutral 3.00 peratus.