KUALA LUMPUR: Pertumbuhan eksport Malaysia mungkin melonjak bulan ini di tengah-tengah kenaikan harga komoditi yang mendadak, kata CGS-CIMB.
Firma penyelidikan itu berkata, harga komoditi termasuk minyak sawit, gas asli cecair, petroleum mentah dan produk petroleum ditapis meningkat ketara berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada bulan lalu.
“Komoditi kekal sebagai pemain utama pada Februari. Produk ini menyumbang 17 peratus daripada nilai eksport Malaysia pada Februari,” katanya.
CGS-CIMB berkata, pertumbuhan eksport semasa yang teguh berkemungkinan tidak menentu, bergantung kepada pergerakan harga komoditi global kerana permintaan asas kekal terpendam.
Mengenai lebihan dagangan Malaysia, CGS-CIMB berkata, ia melebar sedikit kepada RM19.8 bilion pada Februari, sejajar dengan jangkaan pasaran tetapi kurang daripada unjurannya sebanyak RM21.6 bilion.
Ia berkata, disebabkan oleh bulan yang lebih singkat susulan cuti musim perayaan, eksport pada Februari susut 7.9 peratus bulan ke bulan dalam nilai, manakala import jatuh 10.8 peratus bulan ke bulan.
Pada asas tahun ke tahun, kedua-dua eksport dan import berkembang pada kadar lebih perlahan daripada jangkaan, masing-masing sebanyak 16.8 peratus dan 18.4 peratus.
Sementara itu, CGS-CIMB berkata, pengeluaran khas oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 boleh menyokong import barangan penggunaan.
“Kami jangkakan ia (pengeluaran KWSP) boleh memberi sedikit sokongan kepada import barangan penggunaan.
“Import makanan dan minuman utama menguncup pada Februari (-13.8 peratus tahun ke tahun dan -40.0 peratus bulan ke bulan), membawa kepada kelembapan dalam keseluruhan import barangan penggunaan,” katanya.