STOCK SAHAM.CO

Ekonomi Malaysia kekal berdepan cabaran luaran

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran yang berpotensi ditimbulkan oleh kelembapan dalam ekonomi utama meskipun mencatatkan prestasi ekonomi yang kukuh pada suku pertama tahun ini.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata meskipun permintaan terhadap produk keluaran dalam negara meningkat, namun komponen eksport tidak boleh diabaikan sama sekali.

Beliau berkata, komponen berkenaan dapat menyokong ekonomi secara keseluruhan, terutama melalui pemulihan guna tenaga.

Justeru, katanya, walaupun OCBC meramalkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini akan berkembang secara semula jadi mengambil kira prestasi luar jangkaan pada suku pertama 2022, kedudukan untuk baki tahun ini dilihat kurang meyakinkan berbanding sebelumnya.

“Kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini berada pada 5.7 peratus, lebih baik daripada 5.4 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

“Walaupun pemulihan dalam momentum pertumbuhan adalah sesuatu yang biasa, terutama selepas tempoh wabak yang mencabar, kita seharusnya sedar akan risiko yang wujud apabila kadar pertumbuhan mula meningkat dengan pantas.

“Selain daripada risiko yang telah banyak kali dibincangkan, potensi penurunan akaun semasa juga adalah sesuatu yang wajar untuk diperhatikan,” katanya dalam satu nota.

Wellian berkata, data KDNK suku pertama yang kukuh adalah sejajar dengan pendirian yang digunakan oleh BNM semasa mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) minggu lalu.

“Ia tidak mengubah pemikiran kami bahawa ia masih boleh memilih untuk reda seketika pada mesyuarat pada Julai dan hanya naik semula pada September berdasarkan ikrarnya untuk mengetatkan dasar secara ‘berhati-hati dan berperingkat',” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, permintaan domestik yang meningkat, dengan petunjuk bahawa pasaran buruh dan upah mencatatkan pemulihan, ternyata akan menyumbang kepada keputusan kenaikan kadar oleh BNM, terutama terhadap jangkaan bahawa inflasi teras asas dijangka meningkat kepada julat dua peratus hingga tiga peratus.

Pada pengumuman prestasi KDNK suku pertama 2022 pada Jumaat lalu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menekankan kepentingan menentukur semula dasar monetari untuk mengelak keperluan mengambil pendekatan agresif dalam menaikkan kadar faedah.

Ekonomi Malaysia pada suku pertama 2022 berkembang sebanyak lima peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu dilihat sebagai petunjuk optimis terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular