Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 1.1 peratus pada suku pertama

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Moody’s Analytics mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 1.1 peratus suku ke suku bagi suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.6 peratus pada suku keempat 2021.

Ia menjelaskan peningkatan yang didorong kedudukan luaran yang kukuh sebahagian besarnya diteruskan dalam bulan-bulan awal 2022.

“Selain itu, penggunaan swasta yang meningkat selepas pelonggaran sekatan COVID-19 dan peralihan dasar kepada hidup bersama-sama virus itu mungkin menyokong pertumbuhan suku itu,” menurutnya dalam pada Mac,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ia menambah, Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan kadar dasar penanda arasnya yang stabil pada 1.75 peratus semasa mesyuaratnya bulan ini.

Menurut Moody’s Analytics, bagi ekonomi Asia Pasifik, bacaan inflasi untuk April dijangka menunjukkan trend lebih tinggi di Asia.

Indeks Harga Pengguna (IHP) India mungkin meningkat kepada 7.3 peratus tahun ke tahun pada April daripada 7.0 peratus pada Mac, menunjukkan harga makanan lebih tinggi dan kos tenaga meningkat.

IHP Indonesia pula diunjurkan meningkat kepada 3.0 peratus tahun ke tahun pada April daripada 2.6 peratus sebelumnya.

Sementara itu, penyelidikan Kenanga menjangkakan BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 1.75 peratus dan indeks dolar Amerika Syarikat (AS) – DXY – kekal tinggi pada sekitar 104.0 manakala ringgit diunjurkan terus didagangkan di bawah tekanan, dalam julat 4.36 hingga 4.38.

“Dolar AS mungkin terus disokong oleh siri kenyataan yang cenderung kepada kadar faedah tinggi oleh jurucakap bank pusatnya, Rizab Persekutuan AS dan tekanan harga yang meningkat.

“Bagaimanapun, bacaan makroekonomi domestik yang lebih kukuh berbanding dengan jangkaan, terutama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2022 mungkin membantu mengehadkan kejatuhan ringgit,” tambahnya.

BNM dijadualkan mengadakan mesyuarat dasar monetari ketiga pada 11 Mei, manakala pengumuman Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia bagi suku pertama 2022 akan dibuat pada 13 Mei.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini