KUALA LUMPUR: Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka kekal utuh meskipun berdepan persekitaran luaran yang lemah tahun ini, demikian kata penganalisis.
Penganalisis berpendapat, penggunaan swasta kekal teguh walaupun sektor berorientasikan luaran menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan perlahan.
Penganalisis CGSCIMB, Ivy Ng, berkata penilaian pihaknya mendapati persekitaran global melemah dan melihat kemungkinan Amerika Syarikat (AS) berdepan kemelesetan ekonomi sederhana.
Beliau berkata, inflasi global sebahagian besarnya telah memuncak dan langkah seterusnya mengenai pengetatan monetari akan beralih ke arah berhenti seketika dan mungkin melonggarkan.
“Kita sudah melihat inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) AS menurun, diterajui oleh kemerosotan komponen tenaga walaupun inflasi perkhidmatan kekal berterusan di tengah-tengah pertumbuhan gaji yang tinggi secara berterusan.
“Kami melihat kemungkinan kemelesetan sederhana di AS dengan kemungkinan kadar dasar memuncak pada 5.00 peratus pada separuh pertama 2023,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Ng berkata, kejutan pembukaan semula sempadan China lebih awal boleh meningkatkan pertumbuhan global melangkaui jangkaan pihaknya dan membantu mengimbangi kelembapan di AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata, pihaknya kekal optimistik terhadap daya tahan ekonomi Malaysia dalam berdepan kelemahan persekitaran luaran disokong penggunaan swasta yang dijangka kekal utuh.
Katanya, lebihan penjimatan yang ditunjukkan oleh baki tinggi dalam akaun semasa dan simpanan individu boleh dikeluarkan untuk membantu menyokong penggunaan pada masa hadapan, meneruskan pengeluaran separa yang dilihat untuk sebahagian besar 2022.
Selain itu, katanya, penggunaan juga mungkin dirangsang oleh sokongan tambahan daripada kemasukan pelancong China.
“Kami menganggarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal Malaysia boleh berkembang 0.3 peratus meskipun dengan anggaran konservatif kemasukan satu juta pelancong China pada 2023 (2019: 3.1 juta),” katanya.
Ng berkata, kebimbangan utama pelanggan berkisar terutamanya membabitkan Bajet 2023 yang akan diumumkan semula pada 24 Februari ini.
Beliau berkata, bagi 2023, pihaknya mengunjurkan defisit fiskal 5.0 peratus daripada KDNK, berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan dalam anggaran awal kerajaan, di tengah-tengah keperluan untuk memperbaiki kedudukan hutang kerajaan.
“Kami mengharapkan penjimatan daripada pengurangan perbelanjaan dan potensi hasil yang lebih tinggi daripada penggunaan yang lebih baik,” katanya.
Mengenai pengenalan cukai baharu, Ng berkata, pihaknya berpendapat, sebarang pengumuman tidak mungkin berlaku kerana ia berpotensi menjejaskan asas pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan menjelang Jun 2023.