Bank Dunia turunkan unjuran ekonomi global

Facebook
Twitter
WhatsApp

WASHINGTON: Bank Dunia mengurangkan unjuran pertumbuhan global tahun ini kepada 3.2 peratus berbanding 4.1 peratus berikutan impak pencerobohan Russia ke atas Ukraine, kata Presidennya, David Malpass.

Malpass dalam satu sidang akhbar berkata, Bank Dunia bertindak balas terhadap tekanan ekonomi tambahan akibat perang itu dengan mencadangkan pembiayaan krisis baharu untuk tempoh 15 bulan sebanyak AS$170 bilion (RM722 bilion), dengan sasaran komitmen kira-kira AS$50 bilion (RM212 bilion) bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Kami sedang mempersiapkan tindak balas terhadap krisis berterusan, berikutan ada pelbagai krisis lain.

“Dalam beberapa minggu akan datang, saya akan berbincang dengan lembaga pengarah (Bank Dunia), mengenai tindak balas krisis bernilai sekitar 15 bulan baharu bernilai sekitar AS$170 bilion merangkumi tempoh April 2022 hingga Jun 2023,” kata Malpass.

Pelan itu susulan daripada program pembiayaan COVID-19 Bank Dunia bernilai AS$160 bilion (RM680 bilion), yang dikatakan Malpass sebanyak AS$157 bilion (RM666 bilion) telah disalurkan sehingga Jun 2021.

Malpass berkata, pembiayaan itu sebahagiannya akan menyokong negara yang telah menerima pelarian dari Ukraine dan juga akan membantu menangani masalah di negara yang terjejas akibat kekurangan makanan.

Katanya, Bank Dunia dan negara anggota IMF akan berbincang berkenaan bantuan baharu untuk Ukraine, selain menjangkakan komitmen khusus akan diumumkan oleh beberapa negara penderma.

Malpass berkata, komponen terbesar unjuran pertumbuhan global bank itu dikurangkan adalah penguncupan 4.1 peratus di rantau Eropah dan Asia Tengah yang terdiri daripada Ukraine, Russia dan negara sekitar.

Unjuran juga sedang dikurangkan untuk ekonomi maju dan kebanyakan negara membangun kerana lonjakan harga makanan serta tenaga yang disebabkan oleh gangguan bekalan berkaitan perang, kata Malpass.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini