KUALA LUMPUR: Bajet 2023 dijangka terus memberi tumpuan merangsangkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama mengekang impak inflasi dan peningkatan kos sara hidup terhadap rakyat, terutama golongan rentan, kata ahli ekonomi.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff melihat Bajet 2023 akan meneruskan pola bajet sebelumnya iaitu belanjawan berkembang dan bersifat defisit.
Beliau berkata, ia akan menjadi bajet terbesar dalam sejarah disebabkan beberapa faktor iaitu bajet terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) dan juga keperluan untuk memastikan ekonomi negara tidak berisiko mengalami kemelesetan sepertiberlaku di Amerika Syarikat (AS) sekarang.
Pada masa sama, katanya, wujud keperluan untuk memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat terutama golongan rentan dan B40 yang menghadapi suasana sukar akibat kenaikan kos sara hidup merangkumi harga barangan dan perkhidmatan.
“Saya melihat masih ada ruang untuk kerajaan menambah hutang kerana kadar hutang Kerajaan Persekutuan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih lagi di bawah paras 65 peratus.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama kerajaan harus meningkatkan usaha untuk mengawal ketirisan dan rasuah yang dianggarkan membabitkan kerugian RM40 hingga RM50 bilion kepada kerajaan setiap tahun.
“Jika rasuah dapat diperangi sepenuhnya, hasil kerajaan dapat disalurkan kepada rakyat dan tidak perlu untuk memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menambahkan hasil kerana ketirisan telah ditutup,” katanya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz minggu lalu berkata Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang menyediakan Bajet 2023 melalui perundingan serta libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, dengan keutamaan ke atas pengurusan subsidi yang lebih mampan, pembaharuan ekonomi selain mengukuhkan daya tahan negara terhadap kejutan masa depan.
Katanya, inisiatif berkaitan kelestarian juga akan dipertimbangkan secara lebih meluas berikutan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang agak serius.
“Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Bajet 2023 akan terus mengutamakan kebajikan rakyat, terutama dalam meningkatkan pendapatan dan perlindungan sosial.
“Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang serta peningkatan daya saing dalam perniagaan dan rantaian nilai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie turut menjangkakan Bajet 2023 akan terus memberi perhatian merangsang pertumbuhan ekonomi di samping mengekang impak inflasi dan kos sara hidup kepada rakyat terutama golongan rentan.
Beliau berkata, tumpuan juga perlu diberi perhatian kepada menggalakkan pelaburan semula membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti penggunaan automasi dan pendigitalan.
“Bantuan berterusan untuk B40 dalam mengekang impak inflasi dan kos sara hidup. Pemulihan tidak seimbang dalam sektor ekonomi (tertentu) seperti pelancongan memerlukan bantuan dan sokongan. Perhatian juga perlu diberikan untuk menggalakkan (amalan) Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) seperti automasi dan pendigitalan,” katanya.
Mengenai kemungkinan pelaksanaan semula GST akan diumumkan dalam Bajet 2023, Heng Guie melihat pelaksanaan semula cukai kepenggunaan itu tidak boleh dibuat serta merta memandangkan perniagaan perlu mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk persiapan melaksanakannya semula, justeru ia berkemungkinan mula dilaksanakan pada 2024.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berkata dengan prospek ekonomi global yang bakal berdepan dengan kemelesetan tahun depan, Bajet 2023 perlu memastikan daya tahan ekonomi terus mampan dan momentum pemulihan pasca-pandemik perlu diteruskan.
Katanya, asas kepada penumpuan belanjawan perlu difokuskan kepada tiga perkara iaitu ekonomi modal, ekonomi manusia dan ekonomi alam sekitar.
Beliau berharap, kerajaan akan lebih kreatif semasa belanjawan akan datang, terutama dalam usaha untuk mereformasi sistem perlindungan sosial negara, isu inflasi dan kos sara hidup, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan upah dan pendapatan, serta usaha ke arah negara neutral karbon dan pembangunan mampan.
Selain itu, katanya kerajaan perlu memikirkan bagaimana hasil dapat ditingkatkan dan perbelanjaan dapat dikurangkan.
“Oleh itu, sistem percukaian perlu dirombak dan kaedah subsidi perlu dirasionalisasikan supaya ia lebih bersasar. Bajet 2023 perlu bersifat berkembang dan bukannya menguncup.
“Ini bukan masanya untuk kerajaan memperkenalkan dasar berjimat cermat yang akan memberi kesan kepada prospek pemulihan dan persediaan ekonomi Malaysia ke arah keadaan yang lebih mencabar tahun depan,” katanya.