Saudi naikkan harga jualan minyak mentah

Facebook
Twitter
WhatsApp

MELBOURNE: Harga minyak melonjak lebih daripada AS$2 dalam awal dagangan hari ini selepas Arab Saudi menaikkan harga jualan minyak mentah bagi Julai, satu petunjuk bahawa bekalan terhad walaupun OPEC+ bersetuju untuk mempercepatkan kenaikan output dalam tempoh dua bulan akan datang.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$1.80, atau 1.5 peratus pada AS$121.52 selepas mencecah paras intrahari setinggi AS$121.95, melanjutkan lagi kenaikan 1.8 peratus pada Jumaat lalu.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) meningkat AS$1.63, atau 1.4 peratus pada AS$120.50 setong selepas mencecah paras tertinggi tiga bulan pada AS$120.99.

Kontraknya meningkat 1.7 peratus Jumaat lalu.

Arab Saudi menaikkan harga jualan rasmi (OSP) bagi minyak mentah utama ‘Arab Light’ ke Asia kepada premium AS$6.50 berbanding purata penanda aras Oman dan Dubai, meningkat daripada AS$4.40 pada Jun, kata pengeluar minyak nasional, Aramco.

Langkah itu dibuat meskipun keputusan diambil oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, secara bersama dipanggil OPEC+, untuk menaikkan output pada Julai dan Ogos sebanyak 648,000 tong sehari, atau 50 peratus lebih tinggi berbanding perancangan sebelum ini.

“Arab Saudi tidak menunggu lama untuk menaikkan harga jualan rasmi ke Asia, pasaran utamanya, selepas melihat kesannya terhadap niaga hadapan merentasi spektrum pasaran minyak, kata Rakan Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, dalam satu nota.

Arab Saudi turut menaikkan OSP ‘Arab Light’ ke barat laut Eropah kepada AS$4.30 di atas Brent ICE bagi Julai, meningkat daripada premium AS$2.10 bagi Jun.

Bagaimanapun, ia mengekalkan premium bagi tong minyak ke AS pada AS$5.65 di atas Argus Sour Crude Index (ASCI).

Langkah OPEC+ meningkatkan output dilihat tidak mungkin akan dapat menampung permintaan memandangkan beberapa negara anggota, termasuk Russia, tidak dapat menambah ouput, manakala permintaan di AS melonjak di tengah-tengah kemuncak musim pemanduan dan China pula melonggarkan sekatan COVID-19.

“Walaupun kenaikan itu amat diperlukan, ia tidak dapat memenuhi jangkaan pertumbuhan permintaan, terutama dengan sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap import minyak Russia turut diambil kira,” kata penganalisis Commonwealth Bank, Vivek Dhar dalam satu nota.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini