SHAH ALAM: Usahawan belia yang mempunyai produk berkualiti serta berpotensi kini berpeluang untuk memasarkan produk mereka di United Kingdom.
Ia selepas satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Selangor Youth Community (SAY) bersama Halal Street United Kingdom (UK).
SAY menerusi kenyataan memaklumkan, menerusi MoU berkenaan produk keluaran usahawan belia boleh memasuki pasaran United Kingdom menerusi platform e-dagang, Halal Street UK.
Jelas SAY, platform itu bukan sahaja bertujuan untuk menawarkan solusi produk halal kepada masyarakat Muslim di UK, malahan juga untuk memperkenalkan makanan dan budaya masyarakat Malaysia ke negara Eropah.
“Halal Street UK adalah sebuah platform e-dagang bagi syarikat tempatan di Malaysia untuk memasarkan produk di pasaran United Kingdom.
“Platform ini menyasarkan jualan secara perniagaan kepada pelanggan (B2C) iaitu melalui platform e-dagang manakala jualan secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) melalui penyertaan syarikat itu ke serata pameran makanan dan sebagainya yang terdapat di UK pada setiap tahun,” katanya.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Mohd Rodzi dan Pegawai Kanan SAY, Abdullah Muaz Mohd Norman bersama pihak Halal Street UK diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon K Suresh dan Pengurus Besarnya, Hairul Hafizi Abdul Hamid di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 29 Jun lalu.
Raja Muda Selangor yang juga Pengasas dan Penaung Diraja SAY, Tengku Amir Shah berkenan hadir menyaksikan majlis itu.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Zakri Jaafar, dan Pesuruhjaya Perdagangan di London, Megat Iskandar Ahmad Dassilah.
Menurut SAY, sehingga kini sekurang-kurangnya 900 vendor syarikat sudah berjaya didaftarkan ke platform e-dagang berkenaan dengan bantuan dan sokongan daripada geran Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
“Bagi syarikat yang berminat untuk mendaftar, boleh layari laman sesawang https://www.halalstreet.co.uk,” katanya.