STOCK SAHAM.CO

Pelaburan hartanah antara Singapura-Malaysia bakal meningkat

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Juwai IQI menjangka pelaburan hartanah rentas sempadan Singapura-Malaysia meningkat sekurang-kurangnya 40 peratus pada 2022 berbanding paras pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kashif Ansari, berkata pelaburan ini akan terus meningkat pada 2023, dijangka mencapai paras sebelum pandemik pada tahun berkenaan.

“Pada 2022, kami menjangka ekspatriat Malaysia yang tinggal di Singapura dan rakyat Singapura akan meningkatkan pembelian hartanah mereka di Malaysia, terutamanya di Johor dan kedua di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan akan menyambung semula perdagangan dan perjalanan sebelum pandemik antara negara dan sekali lagi membolehkan rakyat Malaysia mencari peluang di Singapura serta rakyat Singapura yang mencari peluang di negara ini juga.

Kashif berkata, berdasarkan harga hartanah yang tinggi di Singapura, ini akan turut mendorong rakyat Singapura mencari alternatif di Malaysia.

“Secara keseluruhannya, harga rumah persendirian di Singapura meningkat sebanyak 10.6 peratus pada 2021.

“Singapura tidak menyaksikan pertumbuhan harga yang begitu cepat sejak 2010. Sementara itu, jumlah urus niaga meningkat sebanyak 68 peratus berbanding 2020,” kata Kashif.

Selain itu, dolar Singapura hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding ringgit, diniagakan pada RM3.10 berbanding S$1, lebih tinggi daripada permulaan pandemik pada Februari 2020, apabila dolar Singapura merosot kepada RM2.98.

Beliau berkata, ini mewakili peningkatan sebanyak empat hingga lima peratus dalam kuasa beli untuk pembeli yang memegang dolar Singapura.

Pada masa sama, Malaysia akan turut mendapat faedah lain dari segi industri pelancongan, pendidikan dan perdagangan.

Singapura adalah sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia. Pada 2020, Singapura menyumbang 22 peratus daripada jumlah stok FDI Malaysia.

“Singapura turut mendapat manfaat daripadanya dan menerima lebih banyak pelaburan langsung dari Malaysia berbanding negara lain.

“Pada 2020, pelaburan Malaysia di Singapura mencecah RM110.38 bilion, atau 21 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini