HONG KONG: Harga minyak meneruskan kenaikannya berikutan kebimbangan semakin meningkat terhadap sekatan ke atas Russia yang boleh menjejaskan lagi kekurangan bekalan.
Kedua-dua kontrak utama meningkat lebih lima peratus, dengan Brent kembali melebihi AS$120 dan ia terus meningkat pada awal dagangan di Asia.
Dalam pada itu, kebanyakan pasaran saham susut berikutan lonjakan inflasi dan rancangan bank pusat untuk menaikkan kadar faedah secara mendadak.
Rali merentasi pasaran sepanjang minggu lalu dilihat berakhir buat masa ini apabila pelabur berhati-hati mengikuti perkembangan dalam perang Ukraine, dengan usaha mencapai penyelesaian diplomatik terus berjalan.
Semua mata tertumpu kepada mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) minggu ini, apabila Joe Biden dan pemimpin lain dijangka membincangkan lebih lanjut untuk menghukum Moscow di atas pencerobohan selama sebulan, sementara Kesatuan Eropah (EU) masih membahaskan kemungkinan sekatan ke atas minyak Russia.
Amaran daripada Russia bahawa kerja pembaikan di terminal berhampiran pelabuhan Laut Hitam mungkin mengambil masa sehingga dua bulan, menyebabkan kemerosotan eksport kira-kira satu juta tong sehari, menambahkan lagi kebimbangan terhadap bekalan.
Terdapat sedikit sokongan daripada spekulasi mengenai kemajuan dalam perkembangan perjanjian nuklear Iran, yang boleh membawa kepada kemasukan minyak mentah Tehran kembali ke pasaran dunia.
Lonjakan dalam pasaran minyak akan melonjakkan lagi inflasi yang sudah meningkat, berada pada paras tertinggi 40 tahun di Amerika Syarikat (AS) dan 30 tahun di Britain, memberi tekanan kepada bank pusat untuk mengetatkan dasar monetari sebelum harga barangan tidak lagi terkawal.
Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell pada awal minggu ini mencadangkan pegawai boleh menaikkan kadar faedah sebanyak setengah mata dengan lebih daripada sekali jika kenaikan harga tidak perlahan, walaupun dengan mengorbankan pemulihan ekonomi.
Prospek kekangan kewangan yang lebih ketat menjejaskan saham.
“Memandangkan pedagang mencerna hasil (Perbendaharaan) yang lebih besar dan isyarat inflasi yang lebih tinggi melalui saluran harga minyak, maka harga saham lebih rendah,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management.
Pada awal dagangan semalam, pasaran saham di Tokyo, Hong Kong, Shanghai, Seoul, Wellington, Taipei dan Bangkok semuanya susut, walaupun Sydney dan Singapura meningkat.