PARIS: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dijangka merosot daripada 3.1 peratus tahun ini kepada 2.2 peratus pada 2023, menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam Tinjauan Ekonomi terbaharunya.
Sementara itu, pertumbuhan keseluruhan tahun ini adalah kira-kira separuh daripada yang dicatat pada 2021 iaitu ketika ia melantun semula daripada tempoh pandemik.
Unjuran pertumbuhan bagi 2023 pula adalah jauh daripada ramalan sebelum tercetusnya konflik Russia-Ukraine, lapor Xinhua.
“Asia akan menjadi enjin pertumbuhan utama pada 2023 dan 2024, manakala Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan akan menyaksikan pertumbuhan yang sangat rendah,” kata OECD.
Pasaran utama yang sedang pesat membangun di Asia diunjurkan menyumbang hampir tiga perempat daripada pertumbuhan KDNK global pada 2023, manakala ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah dijangka perlahan.
“Dikekang akibat harga tenaga dan makanan yang tinggi, keyakinan yang lemah, masalah bekalan yang berterusan, dan kesan awal dasar monetari yang lebih ketat, pertumbuhan tahunan di kawasan euro pada 2023 diunjurkan sebanyak 0.5 peratus,” kata organisasi itu.
Ekonomi Amerika Syarikat hanya akan berkembang sebanyak 0.5 peratus pada 2023, berbanding 1.8 peratus pada 2022.
“Eropah berusaha menambah rizab gas aslinya dan mengekang permintaan, tetapi musim sejuk di Hemisfera Utara ini pasti menjadikan usaha itu lebih mencabar,” menurut OECD.
Harga bahan api yang lebih tinggi atau gangguan bekalan secara langsung akan membabitkan pertumbuhan yang lebih lemah dan kadar inflasi lebih tinggi di Eropah dan dunia pada 2023 dan 2024.
OECD menjelaskan bahawa mempercepatkan pelaburan dalam penggunaan dan pembangunan sumber dan teknologi tenaga bersih adalah penting demi mempelbagaikan bekalan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga.