Bank Dunia beri amaran krisis makanan global

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Perang di Ukraine mencetuskan peningkatan kawalan kerajaan terhadap eksport makanan yang semakin membimbangkan, demikian menurut Presiden Bank Dunia, David Malpass.

Beliau berkata, adalah penting supaya pembuat dasar menghentikan trend sedemikian, yang menyebabkan krisis makanan global berkemungkinan menjadi kenyataan.

Katanya, dalam tempoh hanya beberapa minggu, jumlah negara yang mengenakan sekatan terhadap eksport makanan melonjak sebanyak 25 peratus, menjadikan 35 negara yang telah melaksanakan langkah sedemikian.

“Menjelang akhir Mac, sebanyak 53 campur tangan dasar baharu yang menjejaskan perdagangan makanan dunia telah dikenakan, yang mana 31 membabitkan sekatan eksport dan sembilan membabitkan halangan ke atas eksport gandum.

“Sejarah menunjukkan bahawa sekatan sedemikian boleh mencetuskan keadaan yang paling tragik. Sedekad lalu, langkah seperti itu melonjakkan krisis makanan dunia, apabila harga gandum meningkat sebanyak 30 peratus,” katanya menerusi satu komentar.

Dalam pada itu, Malpass menegaskan bahawa krisis makanan adalah buruk untuk setiap orang, namun kesannya paling teruk kepada golongan termiskin dan rentan.

“Terdapat dua sebab. Pertama, negara termiskin dunia cenderung menjadi negara pengimport makanan. Kedua, makanan merangkumi sekurang-kurangnya separuh daripada perbelanjaan keseluruhan isi rumah di negara berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata, krisis makanan pada 2008 menyebabkan peningkatan mendadak kebuluran, terutama dalam kalangan kanak-kanak, sehingga menyebabkan banyak isi rumah menggadai barangan berharga untuk membeli makanan.

Malah, katanya, beberapa kajian menunjukkan kadar berhenti sekolah berada setinggi 50 peratus dalam kalangan kanak-kanak daripada isi rumah termiskin.

“Kerosakan sosial dan ekonomi seperti itu tidak boleh dipulihkan dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan campur tangan perdagangan pada bulan lalu boleh menjadi satu isyarat gangguan bekalan akan berlaku.

Katanya, sekatan eksport yang dikenakan pada Mac adalah hampir dua kali ganda sekatan yang berlaku pada dua bulan sebelumnya.

“Langkah sekatan eksport mengurangkan bekalan global, menyebabkan harga lebih tinggi.

“Ia mencetuskan sekatan eksport baharu untuk membendung tekanan harga domestik, sehingga menyebabkan kesan berganda terhadap harga di peringkat antarabangsa.

“Seandainya mana-mana lima pengeksport terbesar gandung melarang eksport, kesan terkumpulnya adalah kenaikan harga gandum dunia sehingga sekurang-kurangnya 13 peratus, malah lebih lagi jika pengeksport lain turut bertindak sama,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini